"PUTRAJAYA, 13 Jan (Bernama) -- Golongan yang mengunakan cara tidak
beretika dan keganasan untuk mencapai cita-cita mereka menjadi seorang pemimpin patut ditolak sepenuhnya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu berkata sesiapa yang mahu menjadi pemimpin sepatutnya cuba memiliki kualiti yang betul tetapi beliau tidak semestinya berjaya.
"Cara bagaimana beliau mengendalikan kegagalannya akan menunjukkan sama ada beliau benar-benar memiliki kualiti berkenaan," katanya pada persidangan mahasiswa di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata: "Mungkin terdapat 1,000 orang di Malaysia yang memiliki kualiti kepimpinan yang baik tetapi mereka tidak berjaya hanya kerana keadaan tidak memihak kepada mereka," katanya.
Sebaliknya, katanya mungkin terdapat mereka yang mempunyai kualiti kepimpinan yang lemah tetapi mereka mungkin menjadi pemimpin kerana kepimpinan diamanahkan kepada mereka.
Dr Mahathir menggariskan tujuh kualiti untuk menjadi pemimpin yang baik, iaitu:
i. Seorang pemimpin yang baik tidak semestinya merendah diri tetapi sekurang-kurangnya tidak bercakap besar.
ii. Beliau mesti bersedia menerima tanggungjawab tetapi tidak boleh terlalu mendesak dan berkeras dalam memimpin.
iii. Beliau tidak harus menyalahkan orang lain bagi kegagalan tetapi mengakui kelemahan diri sendiri. Beliau tidak harus menunding jari atau mencari seseorang untuk dipersalahkan.
iv. Beliau patut bersikap luhur dan tidak pentingkan pujian dan kemasyhuran.
v. Beliau patut tahu bagaimana mengendalikan pengikutnya begitu juga pihak atasan. Beliau perlu sensitif dengan sensitiviti orang lain.
vi. Beliau patut bersedia melakukan yang diharapkan oleh orang lain untuk beliau laksanakan. Beliau patut mendukung slogan kepimpinan melalui teladan.
vii. Beliau perlu bijak dan lebih pintar sekurang-kurangnya berbanding orang yang berada di bawah pimpinannya.
Dr Mahathir berkata seorang pemimpin perlu mempunyai banyak idea, idea untuk hala tuju kepimpinan, idea mengenai perkara yang beliau dan pengikutnya perlu lakukan atau capai dan idea untuk meningkatkan kesejahteraan hidup dan persekitaran mereka.
Sama penting ialah beliau perlu tahu bagaimana untuk menjadikan idea itu menjadi kenyataan, katanya.
Beliau berkata seorang pemimpin perlu sedar dengan keperluan dan kehendak orang ramai, menilai mereka dan memberi panduan yang betul kepada mereka dan merancang serta melaksanakan objektif berkenaan bersama-sama pengikutnya dengan jayanya.
"Kepimpinan yang baik jelas amat penting. Kita jarang dapat mengenal pasti pemimpin yang baik dari awal bagi membolehkan kita membuat pilihan yang betul. Rakyat Jerman yang memilih Hitler tidak tahu beliau akan menjadi pemimpin jenis macamana.
"Sebaliknya, pemimpin yang akhirnya muncul sebagai pemimpin yang baik menghadapi banyak kesulitan dalam memenangi sokongan rakyat pada awalnya. Malahan Nabi (Muhammad s.a.w) dibaling dengan batu oleh penduduk Taif ketika baginda mula menyebarkan ajaran agama Islam," katanya.
Beliau berkata kebangkitan dan kejatuhan negara-negara terkemuka dan yang pasti kebangkitannya adalah disebabkan kepimpinan yang baik.
"Apabila pemimpin tidak cekap, negara akan jatuh. Rakyatnya mungkin sama, latar belakang dan kekayaan dan sumber mungkin sama, tetapi apabila pemimpinnya tidak cekap atau lemah, dengan itu negara-negara terkemuka, malahan empayar besar pun boleh jatuh," kata Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun.
Dr Mahathir berkata tidak kira betapa seseorang itu cuba mempamerkan kualiti dan ciri-ciri pemimpin yang baik, ia bukan jaminan yang mereka tidak mungkin melakukan kesilapan.
"Dan begitu juga, tidak kira berapa banyak yang kita belajar mengenai kualiti untuk menjadi pemimpin yang baik, masih tidak mustahil yang kita memilih pemimpin yang salah," katanya.
-- BERNAMA"
No comments:
Post a Comment