1.13.2008

Konspirasi Menjatuhkan Najib

Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika ini, Datuk Seri Najib Tun Razak begitu rancak menjelajah negara khususnya pantai timur dalam apa yang dikatakan persiapan terakhir Barisan Nasional menghadapi pilihanraya umum ke 12.

Ucapan ucapannya di Kelantan dan Terengganu membayangkan BN akan menang besar di kedua negeri ini, yang dianggap kubu kuat pembangkang, khususnya PAS.

Beliau akan datang lagi ke Kelantan untuk ke sekian kalinya. Kali ini untuk meletakkan batu asas sebagai penanda kepada permulaan kerja kerja pembinaan Universiti Malaysia Kelantan. Namun benarkah begitu?


Dengan pelbagai isu yang berjaya dibawa oleh pembangkang serta yang tercipta dalam sehari dua ini, BN sebenarnya akan turun ke gelanggang dengan serba kecacatan, seumpama pendekar yang tempang. Dari isu kenaikan harga barang kepada isu yuran sekolah, isu perlantikan hakim kanan kepada isu peribadi yang mengakibatkan seorang Menteri kanan meletakkan jawatan. Serta pelbagai lagi. Ianya bukan jalan mudah untuk BN terjun ke medan tempur. Seakan apa yang dikatakan oleh Najib merupakan satu laporan dan fakta yang langsung tidak disokong oleh suasana setempat dan realiti di bawah.


Maka dikatakan bahawa keputusan pilihanraya ke 12 nanti bakal mencatat satu kejutan kepada BN. Jauh dari apa yang diungkapkan oleh Najib. Keputusan keseluruhan di seluruh negara menyaksikan penurunan mendadak sokongan kepada BN. PAS terus berjaya mengekalkan kerajaan di Kelantan, jauh lebih selesa berbanding dengan keputusan PRU ke 11, manakala keputusan di Terengganu pula melihatkan peningkatan undi yang mendadak kepada PAS dengan penambahan kerusi yang banyak. Hampir menawan semula Terengganu. Begitu juga di Pahang, dengan keputusan yang lebih baik kepada Barisan Alternatif, ia merupakan satu tamparan kepada kempen pilihanraya BN.


Yang akan dituding adalah Najib. Seolah olah Najib merupakan faktor kemerosotan sokongan rakyat kepada BN. Najib perlu bertanggungjawab. Najib gagal dalam tugasnya sebagai Timbalan Presiden UMNO dan TPM.


Ia membuka ruang yang cukup besar untuk seorang yang sangat mengidam untuk begitu pantas naik ke atas menyusun langkahnya. Siapa lagi kalau bukan seorang yang begitu berpengaruh di sisi Pak Lah. Setelah akhbar berjaya menggambarkan betapa tiada kredibilitinya Menteri Pelajaran dalam isu yuran sekolah, ketokohan seorang anak muda yang boleh mencabar dan memberukkan sesiapa pun, menyelar sesiapa sahaja termasuk Pengerusi SPR di atas komentarnya berkenaan tarikh pilihanraya, bakal terserlah.


Beliaulah yang betul segalanya. Beliaulah yang paling disegani dan ditakuti.


Maka dengan pelbagai lagi kaedah dan strategi, terpelantinglah Najib dari kerusi TPM samada dengan cara terhormat atau secara terhina. Pilihan ada di tangannya.


Persoalannya siapakah yang mungkin mengisi kerusi peninggalan beliau? Seorang yang mungkin tidak mempunyai ketokohan seperti Pak Lah yang boleh dipercaturkan, yang sekadar menjadikan kerusi TPM sebagai tempat persinggahan. Ataupun satu kejutan yang bakal menggemparkan politik tanahair! Tunggulah lakaran sejarah politik tanahair yang bakal dicoretkan oleh seorang anak muda yang begitu tinggi cita citanya!


No comments:

ADs