4.12.2008

Xinjiang (Turkistan Timur)



Sukan Olimpik Beijing yang akan berlangsung mendapat pujian melangit. Melihatkan persediaan-persediaan yang dilakukan sememangnya membuatkan kita teruja. Hebat betul binaan-binaan di sana berbanding dengan yang ada di negara kita. Mereka yang bergantung sepenuhnya dengan media tempatan tentu saja mengkagumi Putrajaya. Begitu juga dengan saya. Namun tanggapan saya berubah apabila berkesempatan melihat gambar-gambar Shanghai yang dibawa pulang oleh satu rombongan lawatan ke sana. Serba-serbinya canggih dan mendahului kita dalam banyak hal.

Samalah keadaannya pada zaman pentabiran Tun Mahathir. Orang-orang kampung di tempat saya berasa sangat bangga dengan Dr. Mahathir yang mereka yakini suaranya digeruni Timur dan Barat. Jika Mahathir memberi ucapan, seluruh dunia akan memberi perhatian. Padahal apa yang berlaku adalah banyak wartawan antarabangsa akan menutup lensa mereka jika yang berucap selepas itu ialah Dr. Mahathir. Percaya ataupun tidak, banyak orang di Selatan Thai tidak kenal siapa Dr. Mahathir, sebagaimana juga banyak rakyat Malaysia yang tidak tahu siapa dia Thaksin.

Sweden dan Switzerland adalah antara negara termaju di dunia. Anda kenal siapa ketua pemerintahnya? Peranchis salah sebuah negara berkuasa veto. Sepatah ucapan pemerintah Peranchis dipasang telinga oleh dunia. Berapa ramai rakyat Malaysia tahu nama pemerintahnya.

Inilah hakikat. Minda kita diasuh oleh media. Hal ini berlaku di seluruh dunia sejak zaman-berzaman. Kita disogokkan dengan kelebihan-kelebihan kita sehingga menjadikan kita kadang-kala terperasan sendiri.

Berbalik keada cerita Olimpik Beijing. Selain sanjungan, kejian juga agak tinggi kerana isu Tibet dan demokrasi. Bukan orang Lhasa saja bangun, bukan orang Istana Potala saja bangun, bukan rakyat Tibet saja, bukan juga penganut agama Buddha saja ataupun para pendokong Dalai Lama, bahkan di banyak tempat di serata dunia daripada pelbagai agama dan bangsa. Masing-masing menzahirkan ketidaksetujuan mereka dengan cara masing-masing. Kita boleh lihat sendiri bagaimana larian obor cuba dirosakkan di beberapa tempat. Penganut agama Islam pun ada yang melibatkan diri dalam demonstrasi.

Persoalannya, siapa ada ambil sedikit peduli terhadap umat Islam di Turkistan Timur (Xinjiang)? Umat Islam sendiri tidak bangun, apakah kita mengharapkan ada umat selain Islam akan bangun? Sedap saja hati kita menanti saat untuk meraikan Olimpik Beijing tanpa ada sedikti pun perasaan ukhuwah dengan umat Islam di Xinjiang.

Pada tahun 1949, lebih 95% penduduk Turkistan Timur beragama Islam. Menjelang tahun 1983, jumlah mereka merosot teruk hingga menjadi tidak sampai 55%. Bukan Islam keturunan Hans meningkat daripada 5% kepada 45%. Ke mana menghilangnya penduduk asal keturunan Uighur, Kazakh, Turki dan Dugans?

Republik Rakyat China di bawah pimpinan Mao Tse Tung mencabul bumi Islam ini lalu mengubah namanya kepada Xinjiang. Penukaran nama ini cukup berkesan untuk menghilangkan identiti Islam wilayah ini hinggakan majoriti umat Islam tidak tahu pun kewujudan Turkistan Timur.

Bangsa Hans yang bukan Muslim dibawa masuk beramai-ramai oleh pemerintah. Jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran diberikan kepada bangsa Hans yang sebati dengan ideologi komunis. Para pemimpin agama dan politik Turkistan Timur ditangkap, dibunuh, dimasukkan ke kem-kem buruh paksa ataupun hilang begitu sahaja. Tanah-tanah penduduk dirampas dan pasar-pasar ditutup untuk menjahanamkan ekonomi penduduk Muslim.

Usaha-usaha untuk melenyapkan Islam di Turkistan Timur berjalan dengan sistematik hinggakan umat Islam sedunia tidak menyedarinya. Kemuncak kekejaman China boleh dilihat pada masa Revolusi Kebudayaan dalam tahun-tahun 1966-67. Ketika itu masjid-masjid ditutup. Sebahagiannya diambil alih dan dijadikan pejabat, asrama ataupun pusat-pusat penyembelihan (pemotongan) haiwan. Kitab Al-Quran dan buku-buku agama dibakar. Pendidikan agama tidak dibenarkan. Huruf rasmi Turkistan Timur iaitu huruf Arab digantikan dengan huruf Cyriclic dan Latin.

Dianggarkan lebih 360,000 orang Islam dibunuh, 100,000 dihalau ke Turkistan Barat dan 500,000 lagi dijadikan hamba abdi di kem-kem buruh paksa. Semua maklumat ini diperolehi daripada buku ‘Gerakan Jihad Fisabilillah & Cabarannya’ oleh Abdul Qadir Djaelani terbitan Pustaka Dini tahun 2001.

Wilayah ini juga sudah puluhan kali menjadi tapak percubaan senjata nuklear yang dijalankan oleh pemerintah China. Sisa-sisa ujian tentunya dibiarkan merebak ke kawasan-kawasan pedalaman yang dihuni oleh penduduk beragama Islam.

Dengan semua yang berlaku di atas, apa kurangnya Turkistan Timur berbanding Tibet? Sekurang-kurangnya berita Tibet disiarkan oleh televisyen Barat tetapi berita Xinjiang terus ditutup sebagaimana tertutupnya berita umat Islam yang dizalimi di Burma (Myanmar).

Ada juga orang Islam yang bernada pejuang tetapi perjuangannya terhad kepada isu-isu Palestin. Selain isu Palestin dan sedikit-sedikit Iraq dan Afghanistan, dia tidak tahu apa-apa. Baginya umat Islam hanya tertindas di Palestin. Saudara-maranya hanya di Palestin. Selesai isu Palestin, selesailah masalah umat Islam. Jenis ini pun ‘kacau’ juga tapi sekurang-kurangnya masih lebih baik daripada mereka yang menumpukan usaha untuk diri sendiri dan jemaahnya saja- dunia luar langsung tidak dianggap berkaitan dengan dirinya.

Mengapa majoriti umat Islam tidak kisahkan Turkistan Timur? Mungkin kerana bagi mereka:

XINJIANG,
KAMU BUKAN SAUDARA KAMI
TURKISTAN TIMUR,
KAMU WUJUD ATAUPUN TIDAK DALAM PETA DUNIA...
TIDAK ADA KAITANNYA DENGAN AKU
UIGHUR,
TANPA AMBIL PEDULI TENTANG KALIAN PUN...
AKU BOLEH MASUK SYURGA

‘PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT’

sumber:
Abu Zulfiqar 'Alexanderwathern'

No comments:

ADs