12.12.2010

Amalan-Amalan Sunat bulan Muharram

Antara amalan disunatkan pada bulan Muharram:

Berpuasa. Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun. Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.
Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.
Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3 kali
Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3 kali

Perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram):

1. Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
2. Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
3. Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.
4. Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
5. Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.
6. Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
7. Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
8. Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."
9. Bercelak. Fadilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.
10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000 kali. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.
11. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11 kali.
12. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
13. Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala." Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Bertanya para sahabat : "Wahai Rasulullah ! Apakah kelebihan 10 Muharram berbanding dengan hari-hari yang lain ?" Sabdanya :

  • ALLAH menciptakan langit, bintang dan sebagainya pada 10 Muharram
  • ALLAH menciptakan gunung-ganang pada 10 Muharram
  • Diciptakan lautan pada 10 Muharram
  • Diciptakan Qalam (pena untuk menulis amal manusia) pada 10 Muharram
  • Diciptakan papan tulis (Luh Mahfuz) pada 10 Muharram
  • Diciptakan Adam a.s. pada 10 Muharram
  • Dimasukkan Adam a.s. ke dalam syurga pada 10 Muharram
  • Dilahirkan Ibrahim a.s. pada 10 Muharram
  • Diselamatkan Ibrahim a.s. dari api Namrud pada 10 Muharram
  • Diselamatkan anaknya Ismail a.s. dari sembelihan pada 10 Muharram
  • Ditenggelamkan Fir'aun pada 10 Muharram
  • Diampunkan dosa Daud a.s. pada 10 Muharram
  • Dilahirkan Isa a.s. pada 10 Muharram
  • Dikeluarkan Idris a.s. daripada perut ikan Nun pada 10 Muharram
  • Disembuhkan penyakit Ayub a.s. pada 10 Muharram
  • Diangkat Isa a.s. ke langit pada 10 Muharram
  • Diterima taubat Adam a.s. pada 10 Muharram
  • Dianugerahkan tahta kerajaan kepada Sulaiman a.s. pada 10 Muharram
  • Diciptakan Arasy pada 10 Muharram
  • Awal-awal hujan yang turun dari langit pada 10 Muharram
  • Awal-awal rahmat diturunkan pada 10 Muharram
  • Diselamatkan bahtera Nuh a.s. daripada tenggelam pada 10 Muharram

7.24.2010

Tanda Pencipta mencintai manusia

PASRAH: Wirid dan doa mendekatkan hubungan antara insan dengan Maha Pencipta.

Insan dibekal hati, perasaan, akal dan fikiran membezakan

APABILA rakyat mencintai rajanya, hal itu perkara lazim dilakukan. Bagaimanapun, suatu hal sungguh menyentuh hati ialah apabila seorang raja mengasihi rakyat tanpa pilih kasih. Sanggup berdebu dan menjejak tanah, memberi apa diminta dan mendengar setiap rintihan dengan hati paling lembut kepada rakyat.

Begitulah cinta Allah kepada hamba-Nya. Maha Agung dan Perkasa itu mengisytiharkan kedudukannya yang amat dekat kepada hamba-Nya. Firman Allah bermaksud:

“Dan apabila hamba-Ku bertanya mengenai Aku, maka (jawablah) sesungguhnya Aku dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia meminta kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Sesungguhnya apabila Allah mencintai hamba-Nya, ia dapat dilihat dengan jelas dan dirasa melalui hati bersih. Ketika Allah mencintai seorang hamba, maka jatuhlah ke dalam hati hamba itu ilham suci yang membuat dia mengenali tanda kecintaan-Nya.

Ada beberapa tanda yang boleh dirasa oleh hati manusia antaranya:

* Tanda Allah mencintai seseorang ialah apabila dia menjadi begitu berminat dengan ibadah.

Adakalanya sesetengah orang berusaha sekuat-kuatnya untuk beribadah, hatta melebihi kapasiti diri sebagai insan lemah. Tujuannya hanya satu iaitu mahu mencintai Allah.

Tetapi ibadahnya seolah-olah kosong tanpa rasa, tawar tiada kemanisannya, semangat imannya maju dan mundur, turun dan naik, akhirnya tenggelam pula dipukul arus dunia. Ketika beribadah semestinya seseorang mampu menghadirkan keyakinan bahawa saat itu Allah mencintai dirinya.

Pernahkah kita menikmati sujud yang panjang sambil menghadirkan dalam hati bahawa saat itulah Allah mengisytiharkan nama kita sebagai orang dicintai-Nya?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jika Allah mencintai seorang hamba maka Ia berfirman: Wahai Jibril sesungguhnya aku mencintai si polan maka cintailah dia.” (Riwayat Imam Ahmad)

Maka orang yang yakin bahawa Allah mencintai dirinya tidak pernah rasa was-was adakah ibadahnya diterima atau tidak? Jauh sekali rasa takbur kerana dia yakin yang menolongnya untuk melakukan ketaatan adalah Allah juga. Bukan kerana kehebatan dan kewarakan, melainkan Allah yang menuntun ke jalan takwa.

Kemudian dia sampai kepada satu makrifah mendalam mengenai Allah iaitu cinta Allah kepada hamba-Nya jauh lebih agung daripada cinta sesama insan. Manusia boleh mengkhianati ibu bapanya atau anak dan isterinya, kawan atau kekasih atas alasan tidak mendapat keuntungan daripada perhubungan itu. Tetapi cinta Allah kekal tidak pernah luntur walaupun dicabar oleh sepak terajang hamba derhaka.

* Tanda Allah mencintai seseorang ialah apabila maksiat membuat dia bangkit mendekati Allah.

Adakalanya dosa boleh mendatangkan manfaat iaitu apabila dosa itu akhirnya membawa kepada keinsafan, taubat dan istighfar.

Kemudian seseorang bangkit mengejar Allah, berusaha mendapatkan hatinya yang hilang di belantara maksiat. Ia sama sekali tidak berputus asa daripada rahmat Allah. Ia sentiasa mengingati janji Allah Yang Maha Pengampun.

Firman Allah bermaksud:

Katakanlah: Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu Kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” (Surah al-Zumar, ayat 53-54)

Janganlah kerana dosa semalam seseorang menyangka Allah tidak sudi mendengar rintihannya, terputus tali langit di hatinya, tertolak segala doanya dan terusir dia daripada pandangan Allah. Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

Demi Tuhan yang diriku berada dalam genggaman-Nya. Seandainya kamu tidak berdosa nescaya Allah akan mematikan kamu. Kemudian Allah akan mendatangkan satu kaum yang melakukan dosa dan mereka memohon keampunan kepada Allah lantas Allah mengampuni mereka.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Hamba yang taat apabila perangainya berubah menjadi iblis pun Tuhan tetap menunggu, di setiap malam rintihan hamba itu diintip hingga ia pulang kembali ke sisi-Nya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

Tuhan kita turun ke langit dunia pada waktu malam tatkala tiba sepertiga malam yang akhir lalu berfirman: Siapakah yang berdoa kepada-Ku nescaya aku terima, siapakah yang meminta kepada-Ku nescaya Aku beri dan siapakah yang meminta ampun nescaya Aku ampuni.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mengapa Allah masih mencari hamba-Nya yang jahat, membangkang dan suka berpaling dengan sombong? Kecintaan apakah itu yang boleh memaafkan sekeji-keji dan sehina-hina manusia? Betapa lembutnya Allah dan Maha Pengasih lagi Penyayang kepada makhluk-Nya.

Dengan cinta-Nya ditutupi segala aib hamba yang hina, memberi peluang berjuta kali dan menangguhkan seksa untuk tetap setia menunggu di langit dunia, bilakah agaknya hamba-Nya ini mahu membersihkan diri.

Saat Allah mencintai seseorang, tempat pertama menerima sentuhan cinta itu ialah hati mereka. Di situlah Allah lenyapkan segala rasa putus asa dan kesedihan akibat dosa mereka kemudian diganti dengan harapan dan keinginan untuk berubah menjadi insan bersih. Hati kita seeloknya selalu berbisik: “Aku tahu bila Allah mencintaiku, iaitu saat aku membenci segala kejahatanku.”

* Tanda Allah mencintai seorang hamba ialah apabila dilapangkan dadanya menerima ilmu yang menjadi petunjuk ke jalan benar.

Allah tidak sesekali membiarkan seseorang insan terkapai-kapai dalam lautan dosa. Bahkan dikirim ke atas hati manusia petunjuk hidayah-Nya supaya manusia terselamat daripada gelombang keganasan dirinya sendiri.

Manusia dibekalkan hati, perasaan, akal dan fikiran untuk membezakan mana baik serta yang keji. Tidak cukup dengan itu, diutuskan juga Rasul, diturunkan al-Quran, dilahirkan pejuang agama-Nya terpilih untuk menerangi kegelapan seraya berdakwah fisabilillah.

Allah juga menjaga pusaka peninggalan Rasul iaitu ilmu Islam, menjaga al-Quran daripada pencerobohan manusia dan mewariskan sunnah Rasul-Nya supaya menjadi ikutan. Baginda SAW bersabda bermaksud:

Apabila Allah mencintai seseorang maka ia membuatnya faham mengenai agamanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

6.18.2010

Cahaya Rejab: Persiapan diri menjelang Ramadan

Bulan Rejab kembali lagi. Ia merupakan antara bulan yang sangat dimuliakan di dalam Islam. Banyak hadis Rasulullah s.a.w yang telah diriwayatkan oleh para sahabat baginda mengenai kelebihan bulan Rejab, bulan ketujuh di dalam kalendar Islam. Rejab bermaksud ta’azim (kebesaran, keagungan, kemuliaan) kerana Allah s.w.t akan melimpahkan rahmat-Nya, kemurahan-Nya. Di sini akan disorot fadilat bulan Rejab dan beberapa hadis Rasulullah s.a.w berkenaan dengannya.

Disebabkan kebesaran dan kemuliaan Rejab itu, Allah melimpahkan rahmat, kemurahan dan kebajikan-Nya terhadap hamba yang beriman serta beramal salih pada bulan Rejab dengan berpuasa pada siangnya dan beribadat pada malamnya.


Dalam membincangkan kelebihan bulan ini, perlu diteliti bahawa banyak fadilat berkenaan bulan ini diterangkan dalam hadis dhaif.

Berkenaan kekuatan hadis ini, ulama bersependapat bahawa ia tidak boleh digunakan untuk berhujah, sebaliknya diharuskan untuk beramal demi men’taqarrub’ (mendekatkan diri) kepada Allah s.w.t.

Kelebihan Rejab dalam al-Quran dapat dihayati melalui firman Allah yang bermaksud:


Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.” (At-Taubah: 36)


Hampir semua ulama tafsir terkemuka dalam menafsirkan empat bulan yang dimaksudkan dalam ayat tadi iaitu tiga bulan berturut-turut – Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam serta satu bulan tersendiri, iaitu Rejab.

Rejab dikaitkan dengan pelbagai kebaikan, antaranya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Rejab adalah bulan untuk bertanam. Maka berniagalah kamu semoga Allah merahmati kamu pada bulan Rejab kerana ia adalah musim untuk berniaga dan makmurkanlah waktu kamu (dengan beramal) dalamnya kerana ia adalah waktu berbuat amal.”


Ulama berkata, Rejab adalah bulan istighfar. Maka perbanyakkan istighfar sepanjang Rejab sebagaimana hadis diriwayatkan Ad-Dailami daripada Saidina Ali Abi Talib.Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Perbanyakkanlah beristighfar pada Rejab kerana pada setiap saat dalamnya Allah menyelamatkan (seorang) daripada api neraka.”

Allah s.w.t Allah berfirman yang bermaksud:
Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun). (Al-An’aam: 160)

Namun amal kebajikan yang dilakukan pada bulan Rejab digandakan sebanyak 70 kali ganda. Begitu juga sembahyang pada waktu malam akan memberi cahaya kepada hati dan membwa kepada keredaan Allah.

Rejab juga adalah pembukaan kepada bulan kebaikan dan berkat. Jika tahun diibaratkan sebagai pohon, Rejab ibarat waktu keluarnya daun, Syaaban ibarat keluarnya bunga, dan Ramadan ibarat keluar buahnya.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Aku melihat pada malam Mikraj sebuah sungai yang airnya lebih manis daripada madu dan lebih sejuk daripada air batu dan (baunya) lebih harum daripada kasturi. Aku bertanya kepada Jibril, Ya Jibril, untuk siapakah ini? Jibril berkata: Untuk mereka yang berselawat atasmu pada bulan Rejab.”


Umum menyedari Rejab adalah permulaan bulan mulia dan bagi mukmin bertakwa, mereka tidak akan melepaskan peluang memanfaatkan kelebihan Rejab bagi melipatgandakan amal salih lebih-lebih lagi ibadat puasa sunat.

Ibadat ini adalah persediaan menghadapi penghulu segala bulan, iaitu Ramadan. Maka, tidak hairanlah, Rasulullah s.a.w kerap kali berdoa setiap kali tiba Rejab sepertimana sabda Baginda yang bermaksud: “Ya Allah! Berkatilah kami dalam Rejab dan Syaaban ini dan sampaikan kami kepada Ramadan.”

Begitulah persiapan mukmin yang benar-benar bertakwa dan beristiqamah dalam hidupnya hingga mereka mempersiapkan diri bukan saja dari sudut fizikal, malah dari sudut rohani. Mereka sudah mula membersihkan diri dan hati mereka sebelum menyambut Ramadan.

Inilah sifat mukmin sejati sebagaimana dijelaskan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Mereka itulah orang yang segera mengerjakan kebaikan dan merekalah juga orang yang mendahului pada mencapainya.” (Al-Mukminun: 61)

Sebagai renungan, ahli hikmat pernah berkata: “Sesungguhnya Rejab adalah bulan memohon ampun daripada segala dosa dan Syaaban pula adalah memperbaiki hati daripada segala kecacatan. Ramadan pula memberi penerangan hati. Sedangkan malam al-Qadar adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah.”

Oleh hal yang demikian itu, amat wajarlah setiap Muslim menginsafi diri dan merebut ganjaran disediakan Allah agar dia dapat menempatkan diri dalam kalangan mukmin berjaya di dunia dan akhirat.

Amalan terbaik di dalam bulan Rejab ini ialah berpuasa. Maksud hadis Rasulullah s.a.w tentang kelebihan berpuasa di dalam bulan Rejab adalah seperti berikut:

§ Puasa 1 hari – Seperti berpuasa 40 tahun dan mendapat keredaan Allah serta syurga tertinggi.

§ Puasa 2 hari – mendapat kemuliaan besar daripada Allah dan dilipatgandakan pahalanya.

§ Puasa 3 hari – dijauhkan dugaan dunia oleh Allah, dijadikan sebuah parit panjang yang menghalangnya ke neraka.

§ Puasa 4 hari – diselamatkan daripada siksaan akhirat kelak serta fitnah Dajjal.

§ Puasa 5 hari – aman daripada azab kubur.

§ Puasa 6 hari – dibangkitkan dari kubur dengan muka bercahaya.

§ Puasa 7 hari – Allah mengunci 7 pintu neraka Jahanam baginya.

§ Puasa 8 hari – Allah membuka 8 pintu syurga baginya.

§ Puasa 9 hari – keluar dari kuburnya lalu menyeru “Laailahaillallah” dan tidak ditolak dia daripada memasuki syurga.

§ Puasa 10 hari – Allah memperkenankan semua permintaan dan hajatnya, dijadikan hamparan perhentian di titian Siratulmustaqim setiap satu batu dan dijadikan dua sayap untuk terbang seperti kilat di titian Siratulmustaqim.

§ Puasa 13 hari – Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 3,000 tahun.

§ Puasa 14 hari – Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 10,000 tahun.

§ Puasa 15 hari – Allah mengampunkan semua dosanya yang lalu di samping menggantikan amalan kejahatan dengan amalan kebaikan. Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 100,000 tahun.

§ Puasa 16 hari – dapat melihat wajah Allah di dalam syurga dan orang pertama menziarahi Allah di dalam syurga.

§ Puasa 19 hari – Dibina sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Allah Adam.

§ Puasa 20 hari – Allah mengampunkan segala dosanya yang lalu, dan melakukan amalan baik dengan baki umurnya.

§ Sesiapa yang berpuasa 3 hari dalam bulan Rejab dan beribadat pada malamnya seperti dia berpuasa 3,000 tahun, diampunkan baginya 70 dosa besar setiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawa dari jasadnya, 70 hajat ketika di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika al-Quran dinaikkan ke langit), 70 hajat ketika ditimbang amalannya di Mizan, dan 70 hajat ketika melalui titian Siratulmustaqim.

§ Berpuasa pada 27 Rejab (Hari Israk dan Mikraj) seperti berpuasa 60 bulan pahalanya, jika disertai dengan sedekah seumpama puasa 1,000 tahun.

§ Dapat meminum air sungai yang dinamakan Rejab yang mana airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada manisan, lebih dingin dari salji.

§ Setiap umat Islam yang berpuasa di bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat seumur hidupnya. Tambahan bersedekah seperti beribadat seribu kali haji dan umrah. Dibina untuknya seribu mahligai dengan seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada matahari seribu kali.

§ Sedekah di bulan Rejab seumpama sedekah seribu dinar, dituliskan kepada tiap-tiap helai bulu romanya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat dan dihapuskan seribu kejahatan serta dijauhkan daripada api neraka. Orang yang lemah daripada berpuasa di bulan Rejab, hendaklah bersedekah setiap hari, sekurang-kurangnya sebuku roti.

Kelebihan lain bulan Rejab

1. Di dalam bulan lain Allah membalas amalan hamba-Nya 10 kali, tetapi di dalam bulan Rejab Allah akan membalas amalan hamba-Nya 70 kali.

2. Sesiapa meminta ampun (beristighfar) pada pagi dan petang 70 atau 100 kali di dalam bulan Rejab, diharamkan tubuhnya daripada api neraka.

3. Rejab bulan Allah, Syaaban bulan Rasulullah s.a.w, Ramadan bulan umat Rasulullah s.a.w.

4. Rejab adalah bulan menabur benih, Syaaban bulan menyiram tanaman, manakala Ramadan bulan menuai.

5. Amalan di dalam bulan Rejab menyucikan badan, Syaaban menyucikan hati, manakala Ramadan menyucikan roh.

6. Rejab adalah bulan maghfirah (keampunan), Syaaban bulan syafaat, manakala Ramadhan bulan menggandakan kebajikan.

7. Rejab adalah bulan taubat, Syaaban bulan muhibbah, manakala Ramadan bulan dilimpahi pahala amalan yang banyak.

8. Pahala amalan baik di dalam bulan Rejab diganda 70 pahala, Syaaban diganda 700 pahala, dan Ramadan diganda 1,000 pahala.

Beberapa amalan lain yang baik dilakukan dalam bulan Rejab

1. Menyucikan diri daripada dosa dengan bertaubat dan memohon ampun.

2. Membersihkan hati yang lalai dan alpa melalui amalan istighfar dan zikir.

3. Mendekatkan diri kepada Allah dengan menunaikan solat.

4. Memohon keselamatan dan kesejahteraan dengan berselawat dan berdoa kepada-Nya.

5. Menginsafkan diri dengan membaca kisah teladan perjuangan Rasulullah s.a.w dan sirah Islam lain.

Peristiwa penting yang telah berlaku dalam bulan Rejab:

1. Israk dan Mikraj (27 Rejab)

2. Solat lima waktu difardukan ke atas umat Islam (Malam Israk Mikraj)

3. Perang Tabuk terjadi di dalam tahun ke-9 Hijrah.

Secara ringkasnya, Israk dan Mikraj adalah sebuah peristiwa di mana Nabi Muhammad s.a.w telah di”israk”kan (dibawa berjalan) dari Kota Mekah ke Baitulmuqadis serta di”mikraj”kan (dibawa naik ke atas) ke Sidratul Muntaha untuk mengadap Allah s.w.t di mana solat lima waktu telah difardukan ke atas umat Islam melalui Rasulullah s.a.w. Semuanya berlaku di dalam satu malam sahaja. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada satu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-Israk: 1)

Doa bulan Rejab

Maksudnya:

“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan bulan Syaaban serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadan. Aku bermohon keampunan Allah yang Maha Agung dan tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup, yang berdiri sendiri dan aku bertaubat kepada-Nya. Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang patut disembah kecuali Engkau yang mencipta aku. Aku adalah hamba-Mu dan aku dalam genggaman-Mu. Aku dalam perjanjian (beriman dan taat) kepada-Mu sekadar kemampuan yang ada padaku. Aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan yang (mungkin) aku lakukan. Aku mengakui atas nikmat yang engkau berikan kepadaku dan mengakui dosa-dosaku. Kerana itu aku memohon keampunan-Mu dan sesungguhnya tiada yang dapat mengampuni dosa seseorang kecuali Engkau Ya Allah.”

Istighfar paling baik dalam bulan Rejab

Maksudnya:

“Aku bermohon keampunan Allah yang Maha Agung dan tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup, yang berdiri sendiri dan aku bertaubat kepada-Nya.”

Kesimpulannya, bulan Rejab merupakan suatu bulan yang banyak keistimewaannya yang dijanjikan oleh Allah s.w.t kepada umat-Nya, kerana Rejab adalah bulan Allah. Pintu rahmat terbuka luas kepada umat-Nya untuk bertaubat dan memohon ampun di atas dosa-dosa yang lepas. Namun begitu, suka diingatkan bahawa kita perlu mengerjakan segala amalan yang dituntut ini dengan sifat ikhlas, rendah diri dan tawwaduk agar ganjaran yang akan diperoleh itu ada keberkatannya.

4.27.2010

Hati yang Ikhlas


Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang. “Mengapa?” balas saya. “Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.” Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?” Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan. “Oh ramai encik…” “Bagaimana dengan anak-anak kakak?” Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.

“Kakak, boleh saya bertanya?” “Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.
“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?” Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”
Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!” Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik. “Maksud encik?” “Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.” “Tidak pernah saya terfikir begitu encik…” “Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.” “Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?” “Maksud kakak?” “Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja,
sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri.
Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!” Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.

“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.
“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”

Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.” “Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’“Pasti ada! Insya-Allah.”“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.” “Subhanallah!”

“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya.

Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.” “Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!” “Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.” “Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.” “Maksud encik?” “Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan
kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”Giliran saya pula tersenyum.“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah.

Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back…Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga.

Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar. “Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?” “Bekerjalah dengan gigih.

Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…” “Maksud encik?”
“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”“Kenapa?”“Kita akan sakit jiwa!” “Kenapa?” “Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran. “Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.

“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”“Ah, kita terlalu ego…”

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?

Wallahu’alam.

Dari Sahabat

ADs